DEWAN MUSLIMAT PAS PADANG TERAP MENGUCAPKAN TAHNIAH KEPADA PASUKAN BOLA SEPAK DUN KUALA NERANG YANG LAYAK KE PERINGKAT SUKU AKHIR KEJOHANAN BOLA SEPAK MB KEDAH 2010

Thursday 23 April 2009

Halal & haram juga berkaitan dengan kezaliman dan keadilan



Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]

Bismillaahir Rahmaanir Rahiim, Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Dewan Rakyat saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang untuk membahaskan perbelanjaan mengurus tambahan pertama dan kedua bagi 2008/2009. Saya mulakan perbahasan saya ini dengan satu firman Allah SAW. [Membaca sepotong ayat al-Quran]

Kenapa kamu tidak bersungguh-sungguh untuk berjuang di jalan Allah. Tidakkah kamu melihat di sana orang-orang Mustad’afin daripada golongan lelaki yang tua, perempuan yang tidak terdaya, anak-anak kecil yang mereka ini hanya mampu menadah tangan berdoa kepada Allah.

‘Ya Allah selamatkan kami, keluarkan kami daripada negara yang zalim penduduknya. Hantar kepada kami seorang pemimpin yang boleh memimpin mengendalikan urusan kami, hantar pada kami orang yang boleh membantu menyelesaikan masalah kami’.

Tuan Yang di-Pertua, kita mendengar dua tiga hari ini keputusan SPM yang diumumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan kita telah mendapati bagaimana seorang pelajar ataupun adik Nor Madihah mendapat keputusan yang begitu baik menjadikan beliau adalah pelajar yang terbaik di negara kita.

Akan tetapi yang cukup menyedihkan kita ialah bagaimana rumah yang beliau duduk itu begitu menyedihkan sehingga rumah itu pun yang sampai berita kepada kita adalah rumah sewa dan bukanlah rumah yang dimiliki sendiri oleh ibu bapa beliau. Jadi sudah tentulah apabila kita melihat perkara ini berlaku timbul persoalan kepada kita. Adakah peruntukan-peruntukan yang sebelum ini dibahaskan dalam Dewan yang mulia ini sampai ke bawah ataupun tidak. Mereka yang Mustad’afin, golongan yang tertindas adalah keadaan yang cukup susah dan cukup sukar.

Apabila mereka mencapai kejayaan, barulah kerajaan prihatin dan menghulurkan bantuan demi bantuan kepada mereka. Apa yang saya hendak sebut dalam perbahasan ini ialah berkaitan dengan peruntukan yang begitu besar yang diperuntukkan di bawah Kepala B.11 dan 12 untuk Kementerian Kewangan iaitu satu program yang ditambah oleh kerajaan untuk membina rumah mesra rakyat.

Tambahan sebanyak RM200 juta kepada SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad) untuk mereka membina rumah yang mampu dimiliki dan selesa untuk didiami melalui pelaksanaan dua program perumahan di samping membantu membaik pulih kembali projek perumahan yang telah terbengkalai.

Sudah tentulah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk kita membina rumah kepada mereka yang berpendapatan rendah dan tidak mempunyai kecukupan kewangan untuk membina rumah sendiri. Akan Tetapi persoalan yang saya ingin timbulkan adalah lebih daripada itu.

Walaupun program ini begitu murni untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan, tetapi seolah-olah pelaksanaannya tidak memenuhi matlamat. Kewujudan program Rumah Mesra Rakyat (RMR) itu sendiri, seolah-olah kerajaan dan parti pemerintah mempunyai agenda yang tersendiri memperalatkan SPNB untuk menggunakan peruntukan wang rakyat untuk menyalahgunakan kuasa secara terang-terang dan menindas rakyat yang sepatutnya dapat rumah yang diperuntukkan.

Syarat-syarat yang kita lihat dan makluman yang sampai kepada kita daripada rakyat bawahan termasuk mereka yang terpaksa mengisi borang untuk menjadi ahli UMNO dan berikrar untuk membantu, menyokong dan wajib menghadiri sebarang program atau aktiviti yang dianjurkan oleh UMNO atau melibatkan kepentingan UMNO. Ini yang rakyat kita cukup risau ketika rakyat menangis memerlukan rumah, rakyat memerlukan pembelaan, kita masih lagi berpolitik sempit sehingga tidak sampai peruntukan yang sewajarnya sampai kepada mereka.

Bagaimana kita hendak menjawab di hadapan Allah. Kita sebagai pemimpin, kami sebagai Ahli Dewan Rakyat, yang berjuang untuk memudahkan penyaluran ini.

Kadang-kadang tandatangan kami pun tidak diguna pakai. Bahkan kita dimaklumkan bukan sekali, malah Yang Berhormat Pendang menyebutkan sebelum daripada ini boring permohonan Rumah Mesra Rakyat diletakkan di pejabat UMNO bahagian bukannya di pejabat SPNB. Pemohon akan disemak latar belakang politiknya. Sekiranya pemohon adalah ahli atau penyokong PAS atau PKR, borang tidak akan diberikan. Di samping itu permohonan tersebut wajib mendapat sokongan daripada Ketua UMNO Bahagian. Kalau “ya” kata ketua bahagian maka “ya” dan mereka mendapat pembelaan. Kalau “tidak” kata ketua bahagian maka mereka akan merempat dan juga merana.

Sidang Dewan Rakyat yang mulia,saya ingin beralih kepada perkara yang kedua yang saya ingin sebut dalam perbahasan ini, iaitu perkara yang berkaitan rapat dengan beberapa kementerian termasuklah Jabatan Perdana Menteri yang diperuntukkan begitu besar juga. Iaitu firman Allah SWT dalam masalah rasuah, Allah menyebut dalam Al-Quran. [Membaca sepotong ayat Al-Quran] “

Dan janganlah kamu makan atau mengambil harta orang-orang lain di antara kamu dengan jalan yang tidak betul, jalan yang salah. Jangan pula kamu menghulurkan harta kamu iaitu memberi rasuah kepada hakim-hakim yang mengendalikan urusan kamu, kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian daripada harta manusia dalam keadaan yang tidak benar, dalam keadaan kamu berbuat dosa. Padahal kamu mengetahui salahnya”.

Malah Nabi SAW menyebut bahawa [Membaca sepotong ayat Al-Quran] “Rasuah dan orang yang menerima rasuah berada di dalam neraka”. Tuan Yang di-Pertua, yang saya hendak menyebut di sini, apa yang pernah dilakukan oleh kerajaan-kerajaan yang telus dan adil satu ketika dahulu.

Bagi mereka yang melakukan rasuah ada barang mereka disita, bahkan dalam Islam hukumannya lebih berat daripada itu sampai ke tahap takzir, sampai boleh dihukum mati, dihukum salib, dihukum potong tangan, kaki bersilang dan juga boleh dibuang negara.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru ataupun meminta penjelasan daripada Jabatan Perdana Menteri. Adakah Jabatan Perdana Menteri melalui Majlis Fatwa Kebangsaan, JAKIM sebagai misalnya akan mengeluarkan satu fatwa, apakah hokum sebenarnya apabila melakukan politik wang. Adakah ia termasuk dalam rasuah ataupun tidak? Kalau termasuk awaslah azab Allah SWT di hari akhirat kelak.

Ketiga Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyebut tentang isu ataupun hak-hak pekerja di dalam negara kita, khususnya apabila kita menyebut tentang keadilan bagi seorang pekerja. Saya ingin membahaskan keadilan ataupun hak pekerja ini menurut persepsi Islam.

Bahkan ia juga diguna pakai dalam semua agama lain iaitu keadilan yang sangat dipentingkan terhadap pekerja-pekerja ini. Perlu ada usaha, saya kira terutamanya daripada kementerian yang mendapat peruntukan yang begitu banyak, iaitu Kementerian Sumber Manusia, yang kalau kita tengok di sini ada peruntukan untuk kita menggubal khusus satu peraturan dan undang-undang khas untuk melaksanakan keadilan bagi pekerja ini dengan bersungguh-sungguh.

Tambah-tambah apabila keadaan dalam negara kita begitu tidak stabil. Setakat ini Pakistan dan Iran adalah antara Negara Islam yang sudah mempunyai undang-undang khusus dalam persoalan keadilan untuk pekerja.

Bilakah kita akan melihat di dalam negara kita wujud undang-undang seperti ini? Kita meminta ataupun menyeru kepada pihak Jabatan Agama Islam ataupun JAKIM ataupun mana-mana pihak yang berwajib untuk mengeluarkan satu guide line ataupun garis panduan kepada majikan-majikan terhadap isu-isu yang berkaitan dengan keadilan kepada pekerja Islam ini. Ini kerana Allah menyebut juga dalam Al-Quran [Membaca sepotong ayat Al Quran]. “Kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah memberikan keadilan kepada orangorang yang berhak, bila kamu jatuhkan hukuman kamu hendaklah menjatuhkan hukuman dengan adil”. Saya ingin menyebut dalam ucapan ini atau dalam perbahasan ini beberapa perkara yang berkaitan dengan pekerja ataupun majikan. Perlulah ada satu perjanjian ataupun dokumen yang jelas dan betul di antara pekerja dan majikan.

Jadi, sejauh manakah kerajaan mengawal selia dan juga mengawasi semua perjanjian di antara pihak pekerja dan juga majikan adalah adil. Kita tidak mahu pekerja bawahan dieksploitasi, bahkan ada di antara mereka yang terpaksa walaupun mengetahui majikan mereka melanggar peraturan, tetapi disebabkan oleh tekanan hidup mereka tetap juga menjadi pekerja di tempat kerja mereka.

Kedua, kehormatan kepada pekerja. Ramai di antara pekerja yang tidak mempunyai pendidikan yang tinggi. Kadang-kadang majikan menggunakan kelebihan mereka, menggunakan undang-undang untuk kepentingan mereka semaksimumnya.

Saya menyeru kepada pihak kementerian untuk mengeluarkan sebenarnya beberapa ramai penganiayaan yang dilakukan terhadap pekerja yang direkodkan oleh kerajaan dengan peruntukan yang ada. Begitu juga perlu ada bagi pihak kerajaan untuk meletakkan kepada majikan ataupun mensyaratkan kepada majikan tidak membebankan kepada pekerja, kerja yang mereka tidak mampu lakukan. Ini membolehkan mereka bekerja dalam keadaan yang cukup kondusif.

Begitu juga dengan masalah upah dan gaji, apakah dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan pihak pekerja tidak dieksploitasi oleh majikan dalam hal gaji, pemotongan KWSP ataupun SOCSO.

Yang terakhir berkaitan dengan pekerja ini ialah bagaimana kerajaan juga perlu membenarkan pihak pekerja untuk mempunyai kebebasan mewujudkan kesatuan sekerja dalam sektor-sektor tertentu. Adakah di sana wujud dasar untuk pekerja-pekerja membentuk persatuan di negara ini. Berapakah sektor swasta yang masih tidak dibolehkan mewujudkan kesatuan sekerja.

Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh persoalan gengsterisme yang berlaku di sekolah yang melibatkan Kementerian Pelajaran. Gengsterisme semakin berleluasa, di manakah cacat dan celanya atau di manakah silapnya kita menggubal syllabus ataupun menggubal sistem pelajaran kita.

Bagaimanakah kita melalui kementerian-kementerian yang wujud boleh ber koordinasi di antara satu sama lain untuk mewujudkan satu suasana atau melahirkan pelajar-pelajar yang baik akhlak, yang akan bakal mewarisi ataupun menggantikan kita satu hari kelak. Ia sangat berkaitan dengan yang pertamanya iaitu daripada Kementerian Dalam Negeri, yang mana saya bertanya dalam satu soalan saya di dalam Soal Jawab Lisan Dewan Rakyat baru-baru dan saya telah diberikan jawapan, iaitu bagaimana pihak polis sekarang ini di dalam Belanjawan 2009 diperuntukkan sebanyak RM4.49 bilion kepada PDRM.

Jadi diagihkan kepada tujuh jabatan PDRM dan kita telah melihat bagaimana Jabatan Perkhidmatan Awam meluluskan 1,503 perjawatan. 1,503 perjawatan bahagian agama dan kaunseling yang hampir sama fungsinya dengan KAGAT dalam Angkatan Tentera Malaysia. Jadi masih banyak lagi perjawatan yang belum lagi diisi dan sudah tentulah bagi saya apabila anggota-anggota polis kita terdidik dengan akhlak moral dan juga agama yang baik mereka juga akan mampu mendidik masyarakat dengan baik selepas daripada itu.

Seterusnya, gengsterisme juga pada pandangan saya boleh dicegah apabila kita melaksanakan modul bersepadu yang tidak meninggalkan aspek akhlak dan juga agama. Dalam satu soalan yang saya tanyakan sebelum pada ini kepada pihak Kementerian Pelajaran bilangan pelajar yang memohon untuk mengikuti pengajian di sekolah agama bantuan kerajaan sejak ia diperkenalkan serta bilangan yang diterima. Jawapan yang diberikan kepada kita terdapat 154 buah sekolah agama bantuan kerajaan yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran. Masih ada lagi berbaki lebih kurang 100 sekolah agama yang masih lagi dalam perbincangan untuk menandatangani memorandum persefahaman.

Sidang Dewan yang mulia, ramai yang cuba mendaftar di dalam sekolah-sekolah yang bertaraf SABK (sekolah agama bantuan kerajaan) ini tetapi disebabkan tempatnya tidak mencukupi mereka terpaksa ke sekolah-sekolah yang bukan menjadi pilihan mereka sedangkan ibu bapa begitu berminat dan begitu mengharapkan anak-anak mereka ditempatkan di sekolahsekolah ini.

Saya mengharapkan di dalam belanjawan tambahan ini akan diberi perhatian dengan lebih lagi oleh pihak kementerian untuk kita mewujudkan sekolah-sekolah yang berbentuk begini yang pada hemat saya begitu berkesan untuk menangani permasalahan gengsterisme kerana saya sendiri berasal daripada sekolah yang tidak ada gengster pun.

Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menyebutkan beberapa persoalan yang berkaitan dengan halal dan haram. Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini halal dan haram ini bukan hanya berkaitan dengan makanan. Halal dan haram juga berkaitan dengan kezaliman dan juga keadilan. Kalau kita melakukan kezaliman kepada seseorang tidak kiralah sekiranya aktaakta yang kita wujudkan itu adalah akta-akta yang zalim maka ia juga diharamkan oleh Islam.

Maka mari kita berfikir bersama-sama. Sama juga apabila kita menjadi seorang Islam apabila kita mengamalkan sistem kewangan yang tidak berlandaskan kepada Islam maka haramnya samalah seperti mana kita memakan makanan-makanan yang haram. Seterusnya Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menarik perhatian tentang…

Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Minta laluan Yang Berhormat.
Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: Okey, sila.

Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat. Saya tertarik dengan apa yang dibahaskan oleh Yang Berhormat berkenaan dengan halal dan haram. Saya ingin penjelasan daripada Yang Berhormat apa pandangan Yang Berhormat tentang kelulusan yang diberi oleh Kementerian Kewangan tentang cabutan khas loteri yang nyata dalam Dewan ini menyatakan bahawa hasil daripada cabutan ini digunakan untuk dana kebajikan, dana pendidikan sosial dan sebagainya sedangkan ini jelas adalah berkaitan dengan judi yang jelas hukumnya adalah dosa besar dan haram dalam Islam.

Jadi macam mana kita hendak melahirkan satu generasi yang baik, satu generasi yang diberkati jika sumber kewangan negara itu sendiri tidak jelas. Apabila wang daripada hasil judi ini dimasukkan ke dalam kumpulan wang disatukan sudah tentulah ia akan berkaitan dengan gaji kakitangan kerajaan di seluruh negara yang menyebabkan wang itu sudah menjadi syubhah.

Jadi apa pandangan Yang Berhormat dalam isu pendapatan negara yang terlibat dalam sumber-sumber yang haram ini.

Tuan Mohd. Nasir bin Zakaria [Padang Terap]: Allah mengurniakan kepada Negara kita terlalu banyak sumber yang boleh kita gunakan untuk kemaslahatan dan juga kebaikan rakyat kita. Kita tidak perlu menggunakan perkara-perkara yang haram untuk memberikan ataupun untuk melaksanakan agenda kebajikan kepada rakyat kita.

Saya cukup sedih apabila saya mendengar kita terpaksa menggunakan atau mengambil hasil yang haram seperti judi seperti arak dan sebagainya untuk diberikan kepada rakyat kita dan akhirnya rakyat kita akan mengeluarkan ataupun melahirkan keturunan-keturunan kita. Sudah tentulah perkara yang haram ini akan melahirkan masyarakat yang tidak baik, bahkan Nabi SAW sebut.

Kalau boleh kita kongsi dalam Parlimen ini setiap daging yang tumbuh daripada perkara yang haram maka neraka adalah lebih utama baginya. Bagi kita kalau kita tidak suka orang menzalimi kita samalah juga orang lain juga tidak suka kita menzalimi orang. Begitulah juga apabila kita menggunakan perkara-perkara ataupun sumber yang haram untuk diberikan kepada orang lain. Dia tidak memberikan kebaikan sebaliknya ia memberikan suatu perkara yang tidak baik selepas menghasilkan perkara yang tidak baik.

Saya ingin menyebut tentang persoalan yang menjadi keluhan kepada masyarakat bawahan saya. Saya balik, saya turun ke sekolah-sekolah, sekolah menengah, sekolah rendah bertanya kepada mereka tentang sistem yang dijalankan, dasar polisi yang dijalankan oleh Kementerian Pelajaran iaitu dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Satu sekolah yang saya tanya daripada 110 calon UPSR nya hanya tiga orang sahaja yang menjawab dalam bahasa Inggeris.

Saya merayu kepada pihak kementerian sekali lagi bersama dengan kawan-kawan yang lain berilah perhatian, berilah satu ruang kepada kami yang datang daripada hujung bandar ini, yang berada di kawasan-kawasan pedalaman ini kami tidak mendapat akses yang baik kepada pelajaran. Bahkan saya sendiri adalah orang yang pertama masuk universiti di kampung saya.

Jadi bagaimanakah kerajaan berfikir pada masa yang sama kita telah seolah-olah menentang Perlembagaan kita sendiri artikel 252, 153.

Jadi sidang Yang Berhormat marilah kita teruskan menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh pakar-pakar bahasa kita, oleh profesor-profesor yang lahir daripada sistem yang pernah kita sendiri ikuti menjadikan mereka orang-orang yang hebat di mata dunia. Kita terus kembali kepada sistem itu supaya kita tidak menzalimi mereka yang berada di pedalaman ataupun mereka yang tidak mampu untuk belajar Sains dan juga Matematik dalam bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris tidak pernah kita tentang. Yang kita tentang ialah dasar yang tergesa-gesa yang dilakukan oleh kementerian.

Yang terakhir Tuan Yang di-Pertua, bagi pihak Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi iaitu yang berkaitan dengan getah ataupun yang berkaitan dengan beban yang dihadapi oleh penoreh-penoreh getah di kawasan saya harga yang turun begitu mendadak dan saya bertanya kepada pihak kerajaan dalam soalan saya sebelum daripada ini apakah tindakan yang diambil, langkah segera yang diambil oleh kementerian. Bagi saya belum mencukupi dengan jawapan yang ada.

Walaupun membuat ketetapan dengan persetujuan negara-negara pengeluar utama getah dunia iaitu Indonesia dan Thailand untuk menyelaras mengurangkan jumlah eksport getah tapi ini masih belum mencukupi. Begitu juga dengan usaha yang dibuat oleh kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan penanaman semula getah tua yang kurang produktif bagi memperlahankan pengeluaran getah negara.

Walaupun bagi subsidi bukannya semua tanah yang ditanam dengan pokok getah ini mempunyai geran. Masih ada lagi dalam proses permohonan. Masih ada lagi mereka yang baru membuka kawasan-kawasan baru. Bagi golongan-golongan seperti ini pohon-pohon getah mereka sudah tentulah ataupun tanah-tanah yang hendak ditanam semula sudah tentulah mereka tidak akan mendapat subsidi yang telah disediakan oleh pihak kerajaan ataupun pihak kementerian.

Justeru itu, saya dengan ini mengharapkan perhatian yang bersungguh-sungguh daripada pihak kementerian dan juga kementerian-kementerian yang disebut tadi untuk mengambil perhatian dan juga kita akan sama-sama melihat negara kita akan terus maju ke depan. Oleh kerana itu saya dengan ini menyokong.

Sumber: mppas.wordpress.com


Wednesday 22 April 2009

Wanita Berdaya, Kita Bersaudara



Wanita Berdaya Kita Bersaudara
KE ARAH MEMPERTEGUH JALINAN PAKATAN RAKYAT

Mengimbas kembali dengan penuh keinsafan, kita menyedari bahawa terdapat pelbagai kata-kata perumpamaan yang tulus dan hebat yang telah diutarakan oleh masyarakat kita sejak dulu lagi, terutamanya masyarakat Melayu di dalam menggambarkan keberdayaan para wanita.

Sebagai satu contoh, pepatah ada menyatakan bahawa “tangan yang menghayun buaian itu akan menggoncang dunia”. Wanita adalah tonggak negara, jika baik wanita, maka baiklah negara seluruhnya. Sebaliknya jika jahat wanita, maka pelbagai masalah yang tidak berkesudahan akan di hadapi negara keseluruhannya juga.

Meyakini peranan wanita yang begitu penting dan hebat lagi berat, iaitu selaku para pengasuh dan pendidik utama terhadap kelangsungan dan survival generasi bermaruah dan berakhlak mulia, juga selaku serikandi, pelaksana dan petugas dalam mewujudkan sebuah negara bangsa serta ummah yang bertamadun, maka “wanita berdaya” amatlah dinanti dan diperlukan. Ianya bagi menjamin tanggungjawab berat itu dapat terlaksana dengan sempurna.

Tanggungjawab unggul ini sebenarnya sangat perlu dan dapat dilaksanakan secara bersama dan bersepadu kerana kita semua adalah berasal dari keturunan yang satu, iaitu dari satu bapa kemanusiaan nabi Adam a.s. Oleh itu “kita bersaudara” dari sudut kewujudan dan survival kemanusiaan. Sehubungan itu tidak hairanlah kita berkongsi dan berpijak di atas bumi yang satu dan juga kepada keperluan fitrah yang sama pada nilai-nilai adil, telus, amanah, berkebajikan dan berwibawa.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah an-Nisa’ ayat pertama, mafhumya: “ Wahai manusia, bertaqwalah kepada tuhanmu yang menciptakan kamu dari diri yang satu, daripadanya Allah menciptakan isterinya, dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan namaNya, kamu saling meminta, peliharalah silatur-rahim, sesungguhnya Allah sentiasa menjaga dan mengawasi kamu.”

Mudah-mudahan dengan tekad dan cita-cita murni ini dibantu dengan perancangan yang bijak dan realistik serta juga usaha-usaha yang dinamik ke arah matlamat ini, wanita Pakatan Rakyat akan dapat merealisasikan dan meneruskan perjuangan “ wanita berdaya, kita bersaudara” dengan jayanya.

Wasalam. Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar.

“PAS untuk semua. Mengisi kemenangan, melestari kebajikan.”



Nuridah Mohd Salleh
Ketua, Dewan Muslimat PAS Pusat.


Tuesday 21 April 2009

Kenali Padang Terap

Padang Terap


Padang Terap merupakan daerah dan kawasan parlimen yang terletak di Kedah, Malaysia.Pusat pentadbiran daerah ini dikenali sebagai Kuala Nerang. Antara kawasan yang termasuk di dalamdaerah ini ialah Naka dan Pedu.

Asal Usul

Padang Terap mendapat nama daripada sejenis pokok terap yang banyak terdapat di suatu kawasan padang atau di tepi-tepi padang.Di Kedah dan Perlis kita dapati banyak kawasan yang di namankan dengan "Padang" seperti Padang Besar,Padang Lalang,Padang Perahu,Padang Hang ,Padang Mat Sirat.Padang mengambar kawasan rata yang gersang tidak mempunyai pohon besar atau hanya di tumbuhi belukar yang jarang ini adalah di sebabkan samada tanah nya yang tandus serta juga kesan musim kemarau yang berlaku empat bulan setiap tahun di kawasan ini di mana curahan hujan kurang dari 50mm hujan sebulan. Kawasan padang Padang Terap ialah kawasan yang di tumbuhi sajenis pohon yang tahan kemarau dan bergetah di panggil Pokok Terap(Artocarpus elasticus) . Oleh itu nama Padang Terap berasal dari pokok ini.Profile tanah kawasan ini juga cetek terbentuk dari batuan mendap shyl di kelaskan oleh pakar sains tanah sebagi Siri Terap.

Ekonomi

Perkembangan pembangunan di Daerah Padang Terap adalah dipengaruhi oleh hubungan ekonomi dengan negeri yang berhampirannya iaitu Pulau Pinang yang berfungsi sebagai Pusat Wilayah Negara bagi negeri-negeri di Utara Semenanjung Malaysia.

Komoditi utama Padang Terap adalah gula yang di keluarkan oleh Syarikat Gula Padang Terap. Di sini terdapat kilang memproses gula dan juga ladang tebu yang luas.Kilang gula ini di samping memproses gula dari landang ia jua memproses gula yang diimpot kerana keluaran landang tidak mencukupi untuk memenuhi kapasiti kilang.Lagi pun industri memproses gula juga menguntungkan kerana gula mentah yang di importt dari pasaran dunia agak murah berbading dengan keluaran tempatan. Oleh itu ladang tebu telah memperbagai tanaman nya meliputi tanaman pisang dan nenas[1]

Tarikan pelancongan

Kawasan-kawasan tarikan pelancongan juga akan memberikan kelebihan kepada Daerah Padang Terap misalnya Tasik Pedu yang terletak di timur laut merupakan kawasan pelancongan bertaraf antarabangsa yang sering dikunjumgi pelancong antarabangsa. Selain itu terdapat juga Jeram Tok Din dan Chalet Dusun.Satu lagi laluan masuk keluar ke Thailand sedang di bangunkan di Durian Burung.


Sumber : http://belia-pt.blogspot.com


Monday 20 April 2009

Eli kunjungi Nik Aziz dengan imej baru

Oleh : Hamdan MS

KOTA BHARU, 20 April: Adun kontroversi, Elizabeth Wong telah membuat kunjungan hormat ke atas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di kediaman rasminya, di JKR 10 Kota Bharu.

Elizabeth kelihatan bersama seorang teman dan seorang pengawal peribadi telah membuat kunjungan tersebut pada Sabtu.

Pertemuan selama 40 minit itu juga merupakan pertemuan empat mata antara beliau dan Nik Aziz.

Menurut Eli, pertemuan tersebut berlaku jam 2 petang dan beliau mengucapkan terima kasih kepada Mursyidul Am PAS itu kerana memberi sokongan kepada beliau sebelum ini.

"Saya akan memberi fokus kepada kerja yang telah ditangguhkan dan bersemangat untuk kembali berkhidmat untuk rakyat," jelasnya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa.

Ditanya butiran pertemuan itu, Elizabeth tersenyum dan berkata bahawa Nik Aziz seorang yang bertimbang rasa kepada kesnya dan Eli berterima kasih kepada Mb Kelantan itu.

Elizabeth sebelum ini dikaitkan dengan isu gambar yang tersebar di internet telah kembali bertugas setelah dua bulan bercuti.

Beliau menerima kembali jawatan sebagai Adun Bukit Lanjan dan juga Exco kerajaan Selangor.


Beliau juga berpendapat bahawa pandangan dari Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin sebagai pandangan peribadi dan beliau juga masih bersahabat baik dengan Zulkifli.

Sumber: siasahdaily.blogspot.com

Penanti: Muslimat PAS kata Umno takut

PADANG SERAI, 20 April: Ahli Dewan Undangan Negeri(DUN) Merbau Pulas, Siti Aishah Ghazali menyelar dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa pilihan raya kecil bagi bagi DUN Penanti sebagai membazirkan wang rakyat.

Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat Pas Negeri Kedah berkata:

"Saya yakin mereka takut untuk kalah lagi bagi kerusi ke lima dalam pilihan raya kecil ini.
"Jika ini menjadi kenyataan jelas dan terbukti bahawa penolakan rakyat terhadap BN dan Umno bukan satu perkara mainan yang mereka sendiri perlu akur bahawa parti mereka itu sudah tidak relevan lagi untuk memerintah negara dan segera berundur."
Beliau berkata demikian semasa merasmikan mesyuarat agong Dewan Muslimat Pas kawasan Padang Serai, Kedah baru-baru ini.
Dalam persidangan tersebut jawatan ketua Dewan Muslimat PAS Padang Serai kekal kepada Siti Aishah Ghazali.

Timbalan ketua disandang oleh Mariam Ahmad dan naib ketua oleh Zaleha Ishak.

Sumber: siasahdaily.blogspot.com