DEWAN MUSLIMAT PAS PADANG TERAP MENGUCAPKAN TAHNIAH KEPADA PASUKAN BOLA SEPAK DUN KUALA NERANG YANG LAYAK KE PERINGKAT SUKU AKHIR KEJOHANAN BOLA SEPAK MB KEDAH 2010

Sunday 5 July 2009

Menteri Besar Kedah rasmi seminar intergriti

Oleh : Izwan Abdul Halim


ALOR SETAR, 3 Julai (Hrkh) - Masyarakat berintegriti tinggi lahir dari peranan pemimpinnya, manakala untuk menjadi pemimpin yang berintegriti tinggi, mestilah mewarisi sifat-sifat terpuji Rasulullah SAW iaitu amanah, tabligh, siddiq dan fatonah, demikian ditegaskan Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.
Iklan

Katanya, integriti secara mudah difahami ialah menunjukkan sifat seseorang yang boleh bertolak ansur dan diletakkan harapan kepadanya.

"Masalah yang tidak ada integriti hari ini (bila mana) orang yang patut buat kerja betul dia buat kerja tidak betul, patut dia tunai tanggung jawab dia tak tunai tanggung jawab, patut beri perlindungan dia tak beri perlindungan, patut tolong orang dia buat kacau, patut beri keadilan tapi dia tak adil.

"Akhirnya timbul keresahan dalam masyarakat, ketidakpuasan hati. Maka semua dasar yang kita letak untuk mencapai masyarakat majmuk tidak tercapai, kerana para pemimpin dan rakyat tidak ada kesefahaman, keselarian yang sepatutnya wujud," ujarnya pada Seminar Pengukuhan Integriti Pemimpin Masyarakat di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini 28 Jun lalu.

Seminar anjuran bersama Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Institut Pengurusan Dan Integriti Negeri Kedah (INSPIN) itu melibatkan penyertaan pemimpin masyarakat lantikan kerajaan negeri terutamanya Ketua Kampung/Komuniti.

Dengan memetik hadis mengenai kepimpinan, beliau menegaskan Ketua Kampung juga adalah pemimpin yang mengendalikan urusan masyarakat dan perlu ada sifat 'masuliyyah' (tanggung jawab).

"Pada Islam, integriti ini adalah tanggung jawab dan sebagai pemimpin 'memegang' tanggung jawab. Macam pekerja, bertanggung jawab terhadap harta tuannya, bukan hanya makan gaji dan biarkan rosak harta tuannya. Itu konsep integriti sepertimana dalam hadis tadi.

"Kerana itulah pemimpin perlu berlaku adil dan salah seorang dari tujuh golongan yang akan mendapat lindungan arasy di Padang Masyhar ialah pemimpin adil. Memang payah nak buat adil, bila jadi ketua nak layan semua payah. Kadang-kadang kita rasa semua kita buat betul dah, tapi tak betul.

"Kita niat baik misalnya nak tolong anak yatim, memang bagus, hantar beras ke rumah dia. Tapi oleh kerana maknya janda, orang kata nak mengorat mak dia. Senyum pun orang dah kata lain. Kerana itu diposisi kekuasaan, kita mungkin terikut dengan hawa nafsu. Oleh itu pemimpin perlu tahu sempadan, arahan tugas dan arahan agama di mana itu juga adalah integriti," ujarnya mengingatkan.

Jelas beliau, terdapat tiga golongan di akhirat nanti yang Allah SWT tidak mahu melihat, bercakap apatah lagi mengampunkannya.

Pertama katanya, adalah pemimpin yang zalim kerana bukan semua manusia dapat menjadi pemimpin di mana sepatutnya pemimpin menjadi penghormatan dari Allah untuk mendapatkan pahala.

"Tiba-tiba dia salah guna kuasa, perbuatannya itu dianggap zalim. Bila zalim dengan sendirinya mengkhianati rakyat dan Allah. Manakala yang kedua ialah orang tua berzina dan orang miskin yang sombong," terang beliau.

Sebagai pemimpin juga ujarnya, perlu bersabar, fahami rakyat dan berusaha semaksimumnya menawarkan yang terbaik buat rakyat.

Beliau turut menyeru agar para pemimpin masyarakat memanfaatkan teknologi maklumat selain memantau gejala negatif dari globalisasi masa kini yang tersebar khususnya kepada golongan remaja.

Tegasnya, golongan remaja perlu diberi perhatian kerana sehebat mana usaha pembangunan negeri tetapi sekiranya meninggalkan pewaris yang rosak maka tidak ada gunanya.

Sebaliknya, teknologi perlu digunakan untuk menjadi alat memantau dan melaksanakan tujuan kepada sasaran.

Beliau juga menyentuh mengenai kesan dari pembangunan yang diusahakan khususnya berkaitan sosial di mana sebagai pemimpin, Ketua Kampung berperanan mengawalnya dalam konteks pembinaan insan.

Selain itu, Ketua Kampung juga katanya, perlulah menjadi 'role model' kepada masyarakat. Oleh itu tegas beliau, percakapan dan tingkah laku mesti dijaga kerana ia boleh menimbulkan salah faham kerana sebagai pemimpin, Ketua Kampung akan sering menjadi perhatian.


Sumber: Harakahdaily.com

0 comments: