DEWAN MUSLIMAT PAS PADANG TERAP MENGUCAPKAN TAHNIAH KEPADA PASUKAN BOLA SEPAK DUN KUALA NERANG YANG LAYAK KE PERINGKAT SUKU AKHIR KEJOHANAN BOLA SEPAK MB KEDAH 2010

Saturday 5 September 2009

KEMERDEKAAN NEGARA; MENGILAS SEJARAH DALAM CERMINAN HARI INI..

Oleh : Ustaz Riduan Mohd Nor

Kemerdekaan adalah nikmat yang paling tuntas yang dianugerahkan oleh Ilahi kepada setiap makhluk kerana secara dasarnya setiap dari kita dilahirkan untuk menghirup udara segar kemerdekaan, tidak dipasung akal dan jasad, serta tidak memperhambakan diri kepada makhluk selain daripada Allah S.W.T. Kemerdekaan adalah amanah yang perlu dipertahankan kerana penjajahan mampu berulang malah boleh menyerkap manusia dengan penjajahan dalam versi baru tanpa kita sedari.

Menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, kemerdekaan sebenar dalam Islam adalah merdeka dari sudut fizikal dan spiritual, iaitu tidak membenarkan manusia menghambakan diri sesama manusia, ini jelas menunjukkan Islam berbeza dengan ideologi-ideologi lain. Islam juga tidak membenarkan umatnya menjajah manusia lain kerana Islam lebih mementingkan keluhuran, berdisplin dan pemurah. Perkara ini dapat dilihat melalui usaha-usaha Rasulullah S.A.W, membebaskan manusia dari segala bentuk kejahilan dalam amalan kehidupan seharian

Di Tanah Air tercinta ini, denai sejarah telah merakamkan perjuangan suci para ulama membentengi aqidah umat Islam semenjak Negara kita menerima pengaruh Islam pada abad ke-13. Ulama kita yang berkubu di Pusat-pusat Pengajian Islam telah memancar kekuatan kepada umat Islam bagi berhadapan dengan serangan pemikiran ‘ghazwatul fikri’ penjajah Barat. Dalam cerminan sejarah ini, tersuluh kehabatan Tuan Guru Haji Hassan bin Munas ( Tok Janggut ) yang bangkit bermandi darah di Pasir Puteh, Kelantan pada tahun 1915. Di Terengganu pula, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong telah memimpin kebangkitan ummah, menentang kemaraan penjajah British yang cuba memijak kemuliaan Syariat Islam.

Sejarah telah membuktikan perjuangan para alim ulama’ memikul beban amanah yang di tinggalkan oleh Rasulullah S.A.W , untuk meninggikan Islam di atas semua kepercayaan dalam menggalas perjuangan menentang penjajah samada Barat atau Timur. Penjajahan Barat penuh dengan palitan noda hitam yang bernuansakan penyebaran ajaran Kristian tidak dibiarkan percuma oleh para alim ulama’ di setiap inci bumi umat Islam. Mereka telah bangkit dengan gagah meniupkan api perjuangan kepada umat yang sedang lena diulit mimpi. Para ulama’ yang dianugerahkan dengan ilmu benar dari Allah S.W.T telah mencetuskan kesedaran untuk membebaskan diri dari penjajah jauh lebih awal daripada kelompok nasionalis sekular yang telah merampas buah kemenangan dari alim ulama’. Malah hari ini mendabit dada dengan seluruh kepungan media bahawa merekalah pembebas Tanah Air dari belenggu penjajah. Sedangkan sebahagian alim ulama’ ini telah menjadi korban penjajah samada syahid di tali gantung seperti Sheikh Umar Mukhtar atau di penjarakan tanpa perbicaraan seperti Ustaz Abu Bakar Al Baqir,malah di buang negeri seperti Imam Diponegoro, Uthman Den Fodio dan Tuan Guru Abdul Rahman Limbong. Malangnya hari ini, paparan sejarah skrin telah memadamkan kebaktiaan mereka dan generasi muda dipaksa menerima versi sejarah baru bahawa kemerdekaan Tanah Air telah diperjuangkan oleh golongan elit sekular yang sememangnya menjadi anak asuhan penjajah.

Rentetan sejarah diatas, maka PAS yang ditubuhkan pada 1951 oleh para alim ulama’ dan guru-guru agama yang tegas memperjuangkan kemerdekaan juga turut dipadam oleh sejarah citra dan nuansa ini dari catitan sejarah. Sebahagian dari pimpinannya telah mendekam dalam penjara British seperti Dr Burhanuddin Al Helmy, Khaijah Sidek dan lain-lain.

Pada hari ini, kita dapat melihat pelbagai penyakit dan musibah kepada umat Melayu Islam di sebabkan golongan pemerintah yang berkiblatkan Barat sekular menafikan pegorbanan dan perjuangan para alim ulama’ dalam mempertahankan Islam serta memerdekakan Tanah Air. Akibat dari tindakan golongan pemerintah sekular, kita dapat melihat fakta-fakta kes kerosakan umat yang tidak putus-putus menimpa kita semua. Disini dinyatakan beberapa fakta kes yang menjadi bukti kepada kita semua.

Di antara 1997-1999, jumlah kes rogol yang melibatkan orang Melayu ialah 859 kes (1997), 946 kes (1998) dan 949 kes (1999). Dikalangan orang Cina ialah 146 kes (1997), 160 kes (1998), dan 154 kes (1999). Orang India mencatatkan 95 kes (1997), 106 kes (1998), dan 82 kes (1999). Pada 1992, bilangan mak nyah atau pondan Melayu ialah sebanyak 77.5%, India 10.84%, Cina 8.33% dan lain-lain ialah 33.3% (Majalah Umi,Julai 1993).

Bermula 1991 hingga Mac 1994 kes juvana yang di catatkan berjumlah 9505 kes. Daripada jumlah itu sebanyak 5477 kes melibatkan lelaki Melayu yang ditahan di Pusat Pemulihan manakala bagi remaja perempuan Melayu juga mencatatkan jumlah kes yang paling ramai berbanding kaum-kaum yang lain Bilangan penduduk Malaysia yang terlibat dalam penagihan dadah ialah sekitar 500 ribu orang. Remaja Melayu yang dikatakan terlibat dengan kegiatan penagihan dadah adalah dianggarkan seramai 350 ribu orang, atau 70% (Sunday Mail, 6/2/94), (Utusan Malaysia 10/2/96), (Berita Harian, 8/4/96) dan (New Straits Times, 11/7/96). Anggaran perbelanjaan untuk dadah di kalangan penagih Melayu setiap bulan ialah RM105 juta dengan purata RM10 sehari. Ini bermakna dalam tempoh setahun wang yang di belanjakan untuk dadah ialah RM1.26 billion, (Sunday Mail, 6/2/94), (Utusan Malaysia, 10/2/96), (Berita Harian, 8/4/96) dan (New Straits Times, 11/7/96).

Ini berdasarkan fakta terdahulu, namun secara rasionalnya peningkatan kes semestinya meningkat dari masa ke masa yang tidak boleh dinafikan oleh semua pihak. Oleh yang demikian, kita sebagai rakyat Malaysia perlu kembali kepada hakikat perjuangan kemerdekaan yang telah diperjuangkan para ulama’ untuk mencapai kemerdekaan yang hakiki, kerana para ulama’ yang telah berjuang bermati-matian untuk mempertahankan tanah air serta membebaskan belenggu pemikiran dari kuasa penjajah. Maka menjadi kewajipan dan kemestian rakyat malaysia untuk bersama-sama kembali menjulang panji perjuangan para alim ulama’ dengan memberikan sokongan sepenuhnya kepada Parti Islam Semalaysia (PAS), yang secara jelas memperjuangkan kemerdekaan sepertimana rentetan awal yang dipelopori oleh para alim ulama’. Bukan sahaja untuk umat Islam, bahkan seluruh umat manusia dapat merasai kenikmatan berada di bawah pimpinan sistem kehidupan Islam yang sempurna.

Sumber : tintajundi.blogspot.com

0 comments: