DEWAN MUSLIMAT PAS PADANG TERAP MENGUCAPKAN TAHNIAH KEPADA PASUKAN BOLA SEPAK DUN KUALA NERANG YANG LAYAK KE PERINGKAT SUKU AKHIR KEJOHANAN BOLA SEPAK MB KEDAH 2010

Wednesday 5 May 2010

Sik Sudah Ada Anggur


TASIK BERIS - Kewujudan tanaman anggur di daerah Sik dapat membuktikan bahawa anggur bukan sahaja boleh ditanam pada iklim sejuk, tetapi juga dalam cuaca panas seperti di negeri ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata, kejayaan Excel Agrotech dalam memulakan penanaman anggur pada November 2007 adalah suatu usaha yang baik kerana secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Menurutnya, dengan hasil tanaman di atas tanah seluas 1.6 hektar dengan jumlah tanaman pokok sebanyak 1,000 pokok, memberi pulangan yang menguntungkan kerana dalam masa yang sama dapat mempromosikan daerah ini kepada pihak luar.

“Pihak syarikat juga turut memaklumkan bahawa mereka kini dalam proses mengembangkan tanaman ini di satu lagi kawasan dalam daerah Sik, iaitu di Sungai Senam dengan keluasan tanah seluas 12 hektar berserta 7,000 pokok.

“Melalui penanaman anggur itu juga, dapat membantu dan menggalakkan proses pembelajaran dalam bidang tanaman baru, kerana pihak seperti badan kerajaan, institusi pengajian tinggi datang ke sini,” katanya sewaktu mengadakan lawatan di sini, semalam.

Azizan berkata, pihaknya turut merancang untuk membuka satu ladang agrotourism di daerah Padang Terap, berhampiran Tasik Pedu, sekiranya proses urusan mendapatkan tanah di kawasan berkenaan selesai.

“Kedah kini bukan sahaja dikenali sebagai negeri Jelapang Padi semata-mata, sebaliknya negeri yang dipenuhi dengan pelbagai jenis buah-buahan, sama ada tempatan seperti durian, rambutan selain buah-buahan luar yang ditanam di sini, seperti anggur serta kurma.

“Ladang berkenaan akan dilengkapi dengan pelbagai tanaman buah-buahan tanpa mengira musim, termasuk tanaman pisang sebagai tarikan kepada pengunjung, segala peruntukan berkenaan akan diuruskan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK),” katanya.

Beliau berkata, pada masa yang sama juga, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada bidang ternakan ikan, seperti talapia, ikan kap di samping mewujudkan resort bagi mempelbagaikan lagi tarikan pelancong ke negeri ini.

“Sekurang-kurangnya, kewujudan bidang tanaman baru ini secara tidak langsung dapat memperkenalkan daerah pedalaman seperti Sik supaya lebih dikenali dalam kalangan masyarakat luar.

“Kejayaan negeri akan sentiasa memberi sokongan padu kepada pihak syarikat berkenaan, kerana berjaya merealisasikan impian mereka dalam mewujudkan ladang anggur dengan menggunakan teknologi terkini,” katanya.

Turut hadir, exco Kerajaan Negeri, Datuk Amiruddin Hamzah, Pengarah Pertanian Negeri Kedah, Ismail Salleh, Ahli Parlimen Sik, Che Uda Che Nik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Yahya Abdullah dan tetamu jemputan.

Sumber: Kedahlanie

0 comments: